Search
  • EDICT Malaysia

Satu Lagi Kematian Dalam Tahanan di Lokap Jinjang.


1. EDICT difahamkan bahawa mendiang Dhan Bahdur, 26 tahun, seorang warganegara Republik Demokratik Persekutuan Nepal telah ditemui mati di Lokap Jinjang pada 31 Mei 2020.

2. Menurut sumber, Bahdur telah direman sejak 27 Mei sehingga 10 Jun 2020. Ini bermakna, beliau telah meninggal dunia setelah 5 hari ditahan reman.

3. Menurut sumber lagi, Bahdur “dilaporkan mati pada jam 8.20 pagi” oleh seorang paramedik daripada Hospital Selayang.

4. EDICT ingin mengingatkan polis, orang awam dan kerajaan bahawa di bawah Akta Polis, polis adalah bertanggungjawab ke atas keadaan kesihatan tahanan-tahanan.

5. Seksyen 334 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) memperuntukkan bahawa majistret/koroner hendaklah dengan segera dimaklumkan tentang sebarang kes kematian yang berlaku di dalam tahanan.

6. Terdapat banyak kes kematian dalam tahanan berlaku di Malaysia. Oleh itu, adalah amat penting untuk pihak koroner melihat mayat si mati di tempat kejadian sebelum mayat tersebut dipindahkan, sebagaimana yang diperuntukkan oleh seksyen 330 KTJ.

7. Ini adalah amat penting terutamanya apabila begitu banyak bukti salahlaku oleh para anggota yang menjaga tempat tahanan dan pegawai penyiasat telah dikemukakan dalam prosiding-prosiding inkues di hadapan koroner dan juga siasatan-siasatan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

8. Namun begitu, mayat Bahdur nampaknya tidak dilihat oleh Koroner Kuala Lumpur di tempat kejadian (Lokap Jinjang). Kegagalan untuk melihat mayat tersebut di tempat kejadian adalah kononnya disebabkan oleh bimbang akan jangkitan COVID-19 – kami masih belum dapat mengesahkan perkara ini.

9. EDICT menggesa agar Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim untuk mendedahkan butiran lanjut kes ini kepada umum.

10. EDICT turut menggesa agar Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Tuan Ahmad Terrirudin bin Mohd Salleh memberikan nasihat sama ada benar atau tidak peruntukan mengenai keperluan koroner untuk melihat mayat di tempat kejadian menurut KTJ dalam kes kematian Bahdur tersebut tidak dipatuhi.

230 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).