Search
  • EDICT Malaysia

Sikap “double standard” PDRM dalam layanan ke atas orang awam, anggota polis dan VIP



1. Kebelakangan ini kita sering dipaparkan dengan berita orang awam dikompaun kerana melanggar SOP. Kompaun tersebut dikeluarkan terus di tempat kejadian dimana orang awam tersebut didakwa melanggar SOP. Ada juga yang terus dipanggil ke balai untuk dikompaun. Antara kes yang terkini adalah kes seorang lelaki berusia 21 tahun menziarahi kubur ibunya di Jempol, Negeri Sembilan dan 49 pekerja asing yang direman dan digari beramai-ramai kerana menunaikan solat Hari Raya Aidiladha di Juru, Pulau Pinang.


2. EDICT tidak mempersoalkan tindakan polis bertindak mengkompaun orang awam untuk perlanggaran SOP namun EDICT kecewa dengan cara pihak polis bertindak ke atas golongan VIP dan anggota-anggota polis yang dituduh melanggar SOP.


3. Kita masih ingat bagaimana Menteri Besar Kedah yang hanya dikompaun RM1,500.00 selepas lebih sebulan didapati melanggar SOP. Semalam pula, kita digemparkan dengan sekumpulan anggota polis membawa masuk beberapa orang wanita ke dalam Balai Polis Bangi untuk berpesta liar. Namun para anggota ini dikatakan sedang disiasat bagi kes perlanggaran SOP sedangkan kompaun boleh terus dikeluarkan kepada mereka ketika tangkapan dibuat.


4. Pada masa yang sama EDICT mempersoalkan mengapakah sehingga sekarang tiada apa-apa gambar yang dikeluarkan berkenaan cara anggota-anggota polis yang terlibat di dalam kes pesta liar di Balai Polis digari dan dibawa ke Mahkamah bagi tujuan reman? Apakah anggota – anggota polis ini telah digantung kerja sementara siasatan dibuat terhadap mereka? EDICT berpendapat bahawa anggota-anggota polis yang terlibat di dalam kes pesta liar di balai polis tersebut telah mencemarkan nama baik serta imej PDRM dan sekiranya terbukti kes terhadap anggota-anggota ini maka tindakan pembuangan kerja seharusnya diambil terhadap mereka yang terlibat.


5. EDICT juga berpendapat bahawa identiti anggota-anggota polis yang dituduh terlibat di dalam pesta liar di Balai Polis harus didedahkan bagi tujuan pengetahuan umum. Tindakan seperti ini akan menghentikan perkara-perkara sebegini daripada berulang semula di masa hadapan.



6. EDICT ingin menegaskan bahawa apa-apa tindakan yang dilihat bersikap “double standard” oleh PDRM akan dipandang rendah oleh masyarakat. Setiap individu wajib dilayani sama rata seperti yang termaktub di dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.


7. Pejabat Peguam Negara digesa agar bertindak segera dalam memastikan agar setiap tindakan yang dikenakan terhadap mereka yang melanggar SOP semasa Pelan Pemulihan Negara adalah adil dan saksama tanpa mengira status para pelaku. Peguam Negara mempunyai kuasa untuk mendesak dan mengarahkan pihak polis agar setiap tindakan yang dikenakan adalah wajar, sama rata dan setimpal. Hanya dengan berbuat demikian keyakinan masyarakat terhadap agensi penguatkuasaan dapat dipulihkan.


EDICT

22 JULAI 2021

55 views0 comments