Search
  • EDICT Malaysia

Sokong PDRM banteras gangsterisme, melawan kartel dalam kalangan anggota



1. Merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Dev Kumar dalam satu wawancara bersama Utusan Malaysia pada 16 Februari, jenayah gangsterisme kini berada di satu tahap yang membimbangkan.


2. EDICT ingin menyatakan sokongan ke atas PDRM dalam membanteras jenayah gangsterisme ini.


3. Dalam masa sama, EDICT ingin mengajak PDRM agar kembali merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai kewujudan kartel jenayah dalam PDRM.


4. Peperangan ke atas kumpulan kongsi gelap dan samseng ini telah lama dimulakan oleh PDRM namun kewujudan kumpulan ini masih berleluasa dan kini semakin membimbangkan. Mengapakah masalah ini berlaku dan terus menjadi-jadi?


5. Ketua Polis Negara dalam satu wawancara bersama Utusan Malaysia pada 1 Januari lalu telah memberitahu bahawa wujudnya satu kumpulan kartel dalam kalangan anggota polis yang bersepakat dengan para penjenayah bagi memastikan mereka bebas melakukan aktiviti jenayah mereka. Bagi kami di EDICT, pihak PDRM perlu juga fokus kepada permasalahan ini dalam usaha melawan dan menghapuskan gangsterisma.


6. Gangsterisme adalah barah yang sangat berbahaya kepada keselamatan negara. Justeru, ketegasan pihak berkuasa adalah amat penting dalam melenyapkan kumpulan ini. Rasuah dan penyelewengan kuasa adalah antara punca mengapa ini semua terjadi.


7. Kami di EDICT yakin sekiranya kumpulan kartel dalam PDRM yang disebut oleh Ketua Polis Negara ini dapat dihapuskan, maka gangsterisme di negara kita ini juga akan menjadi lemah serta mudah dibanteras.


EDICT

17 FEB 2021

50 views0 comments