Search
  • EDICT Malaysia

Tahanan dirogol, pemuda diperas wang: EDICT gesa Ketua Polis Kelantan segera bertindak




1. Merujuk laporan berita yang dilaporkan oleh Harian Metro pada 7 Jun lalu bertajuk “Pemuda trauma ditumbuk polis, wang dirampas” dan laporan berita Malaysiakini bertarikh 9 Jun 2021 mengenai seorang tahanan wanita dirogol ketika ditahan di IPD Kota Bharu, EDICT ingin menzahirkan rasa kesal terhadap PDRM negeri Kelantan.


2. Dakwaan oleh para mangsa ini sekiranya benar terbukti di mahkamah ia dilakukan oleh para anggota polis ini, adalah jelas satu tindakan yang terkutuk dan tidak berperikemanusiaan. EDICT mengutuk tindakan anggota-anggota yang terlibat dengan pemerasan wang dan merogol tahanan seperti yang dilaporkan oleh media.


3. EDICT ingin menggesa Ketua Polis Kelantan, Dato Shafien Bin Mamat agar turun padang dan mengambil peranan mengetuai siasatan bagi kedua-dua kes berkenaan. Kami berasa bimbang sekiranya siasatan yang dilakukan oleh IPD sama dimana anggota polis tersebut bertugas tidak berjalan secara telus dan dibuat secara sambil lewa.


4. EDICT juga ingin menggesa kerajaan agar menyegerakan penubuhan IPCMC yang dicadangkan pada tahun 2005 agar siasatan ke atas para anggota polis dalam kes-kes sebegini dapat dijalankan secara telus dan adil sekaligus dapat dibawa ke pihak pendakwaan.


5. EDICT berharap, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dapat memantau siasatan dalam kedua-dua kes berkenaan supaya siasatan dalam kes-kes ini dapat berjalan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan. Maruah dan tahap integriti PDRM saban hari semakin tercalar akibat sikap segelintir anggota polis yang bertindak di luar batas kemanusiaan. Sekiranya Bukit Aman tidak melihat perkara ini dengan serius, maka rakyat akan terus memandang rendah terhadap institusi polis di negara ini.


6. EDICT ingin menasihati para mangsa yang terlibat dalam penderaan semasa berada didalam tahanan untuk berani tampil ke hadapan melaporkan salahlaku dan perlanggaran tugas anggota polis supaya para anggota yang melanggar integriti dan meninggalkan tanggungjawab mereka ini dapat diambil tindakan yang tegas.


7. Kami juga ingin meminta agar para pengadu dalam kes-kes perlanggaran tugas dan penderaan dapat diberikan jaminan keselamatan dan perlindungan supaya tidak diganggu oleh para anggota yang terlibat.


EDICT

10 Jun 2021

140 views0 comments