Search
  • EDICT Malaysia

Tiada keperluan reman pelanggar SOP, tidak perlu rampas pakaian suspek dalam kes wanita herdik polis



1. EDICT merujuk laporan media oleh Free Malaysia Today bertarikh 21 Jun 2021 bertajuk 11 lelaki berarak iring mayat direman 4 hari.


2. EDICT kecewa dengan tindakan pihak polis yang bersikap keterlaluan dalam memohon tempoh reman yang panjang bagi para individu yang kesalahannya hanya melanggar SOP semasa musim lockdown ini.


3. EDICT ingin menasihati para majistret agar bersikap lebih prihatin dan peka kepada keperluan agar tidak mengeluarkan perintah reman sewenang-wenangnya. Majistret perlu mengambil kira peruntukkan 117 Kanun Prosedur Jenayah, Arahan Amalan No.3 Tahun 2003, Surat Pekeliling Ketua Pendaftar No.2 Tahun 2012 serta keputusan-keputusan kes Mahkamah berkenaan pengeluaran perintah reman sebelum apa-apa perintah reman diperintahkan


4. EDICT melihat tindakan polis yang memohon reman dan majistret yang menetapkan reman yang panjang ini sebagai kurang kesedaran terhadap penularan virus yang berlaku dalam pusat tahanan lokap.


5. EDICT menegaskan bahawa Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah telah memperuntukan bahawa reman hanya diperlukan sekiranya sesuatu siasatan itu tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam. EDICT hairan mengapa para individu yang kesalahannya jelas melanggar SOP dengan kesemua tindak-tanduk mereka telah ternyata boleh dibuktikan dalam video yang tular tersebut perlu direman begitu lama. Bukankah pihak polis boleh memanggil mereka untuk mengambil kenyataan dan disoal-siasat serta boleh terus mendakwa mereka sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang? EDICT berpendapat mengambil kenyataan pelanggar SOP PKP boleh diselesaikan dalam tempoh beberapa jam sahaja yang tidak memerlukan sebarang perintah reman.


6. Sementara itu, dalam kes penahanan seorang wanita yang tular mengherdik pihak polis dalam satu sekatan jalan raya di Sabah, EDICT berasa hairan mengapa pihak polis perlu merampas pakaian wanita tersebut ketika menahan beliau? Kes wanita tersebut bukannya kes jenayah serius yang memerlukan pakaian sebagai bahan bukti dan rampasan. Sekiranya isu identiti yang dipertikaikan, bukankah polis sudah memiliki Nombor kad pengenalan wanita tersebut serta rakaman video yang dirakam oleh anggota polis sendiri?


7. EDICT ingin mengingatkan para majistret dan PDRM agar tidak mengunakan kuasa reman sewenang-wenangnya untuk menghukum para suspek yang belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Sekiranya berlaku pelanggaran SOP atau undang-undang, pihak polis boleh sahaja memberikan kompaun seperti yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan. Tindakan menggunakan kuasa reman ke atas para suspek atau pesalah PKP adalah satu pencabulan hak asasi manusia.


EDICT

22 JUN 2021

759 views0 comments