Search
  • EDICT Malaysia

Tindakan anggota polis mengasari orang awam di dalam video tular perlu disiasat secara adil segera


1. EDICT merujuk satu video yang tular menunjukkan beberapa orang anggota polis memberhentikan sepasang suami isteri dan berlaku pertengkaran antara pasangan tersebut dan anggota-anggota polis. Kejadian itu menyebabkan anggota polis menggunakan kekerasan fizikal untuk menahan pasangan tersebut.


2. EDICT memahami tugas dan peranan anggota polis dalam menjaga keselamatan negara. Namun begitu EDICT berpendapat bahawa insiden pada tarikh tersebut boleh dielakkan.



3. EDICT ingin mengingatkan setiap anggota polis bahawa Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu kenyataannya yang disiarkan di Astro Awani pada tarikh 7 Mei 2021 telah memberi arahan agar anggota polis tidak memeriksa warga asing secara rambang sekiranya mereka tidak disyaki melakukan apa-apa kesalahan. Di dalam video tersebut, difahamkan pihak polis menahan suami kepada wanita terbabit yang merupakan warga asing dan mengambil passport milik suaminya.


4. EDICT juga ingin mengingatkan anggota polis bahawa di dalam video tersebut tidak berlaku sebarang ancaman kepada anggota polis yang menahan pasangan tersebut sehingga boleh mencetuskan tindakan kekerasan fizikal diambil terhadap mereka. Mengapakah polis perlu menggunakan kekerasan dalam keadaan yang tidak berbahaya kepada diri mereka?



5. EDICT juga membantah cara pihak polis yang tidak mengikut tatacara terbaik di dalam menahan seorang wanita yang mana hanya anggota wanita sahaja dibenarkan untuk menahan suspek wanita di dalam keadaan kes ini.


6. Menurut laporan akhbar Harian Metro bertarikh 12 Jun 2021, EDICT difahamkan pasangan tersebut telah direman selama 3 hari akibat insiden berkenaan. Apakah keperluan pasangan tersebut ditahan reman sehingga 3 hari sekiranya pihak polis telah meyakini berlakunya perlanggaran undang-undang oleh pasangan terbabit? Sekiranya jelas bahawa terdapat pelanggaran undang-undang yang jelas maka pasangan tersebut boleh didakwa di mahkamah sekiranya pendakwaan diperlukan tanpa apa-apa proses reman terutamanya semasa musim pandemik ini.



7. EDICT juga berharap agar siasatan di dalam kes ini dapat dijalankan dengan adil dan bijaksana terhadap kedua-dua pihak demi mencapai keadilan yang saksama.


8. EDICT juga menggesa agar IPCMC segera dilaksanakan supaya sebarang aduan salahlaku dan perlanggaran tugas oleh anggota polis dapat disiasat secara telus dan adil. IPCMC yang telah dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja pada tahun 2005 adalah satu draf undang-undang yang sangat efisien dalam menyiasat segala salahlaku anggota polis. Kelewatan kerajaan melaksanakan IPCMC hanya akan memburukkan tahap keraguan dalam kalangan orang ramai terhadap PDRM.


EDICT

14 Jun 2021

182 views0 comments